SUKAU, 6 MEI – Kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah terus menjadi perhatian apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turun padang meninjau sendiri status pelaksanaannya hari ini.
Lawatan kerja itu melibatkan tinjauan di Pakej Kerja WP25 ketika beliau dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone).
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab serta beberapa pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Menurut taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR), projek WP25 melibatkan jajaran sepanjang 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.
Setakat ini, kemajuan fizikal projek mencapai 12.35 peratus berbanding sasaran asal 15.30 peratus manakala kemajuan kewangan berada pada tahap 11.52 peratus.
Projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028.
Antara komponen utama pembinaan termasuk persimpangan bertingkat, hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.
Bagaimanapun beberapa kekangan dikenal pasti menjejaskan kemajuan kerja antaranya isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada.
Masalah utiliti turut dikenal pasti sebagai faktor utama yang memperlahankan kerja tanah selain cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.
Selain WP25 Ketua Menteri turut diberi taklimat mengenai perkembangan Pakej Kerja WP24 yang melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh dengan kemajuan fizikal setakat April 2026 mencapai 15.60 peratus juga sedikit lewat daripada jadual asal.
Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kepentingan kerjasama dan penyelarasan berkesan antara semua pihak bagi menangani isu di tapak termasuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.
Beliau berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan hubungan antara kawasan di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya.
