PPM SABAH RAMPAS BARANG KAWALAN BERNILAI LEBIH RM526,000, DAN ENAM DITAHAN

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 23 JUN — Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Mohd Nazri Zainal, memaklumkan pihaknya berjaya merampas pelbagai barang kawalan bernilai lebih RM526,000 menerusi dua operasi berasingan di Semporna dan Kota Kinabalu di bawah Op Taring Landai Khas.

Dalam operasi pertama pada 21 Jun lalu di Kampung Mesra, Semporna, polis merampas dua bot serta 277 jerikin berisi petrol dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM132,651.

Sementara itu, serbuan kedua yang dijalankan pada 22 Jun di sebuah gudang di Taman Dai Ming Baru, Kota Kinabalu menemukan 17,250 liter diesel bersubsidi, lapan unit tangki IBC, sebuah skid tank, beberapa kenderaan dan peralatan pemindahan minyak.

Dalam operasi tersebut, enam individu terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 25 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi dianggarkan RM526,533.50.

PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh penguatkuasaan dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di negeri ini.

Share This Article