PENAMPANG, 8 Feb : Polis menahan lima lelaki disyaki terbabit dalam kes pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM10,000 dalam satu operasi di Putatan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat susulan laporan kejadian pecah masuk di sebuah rumah tidak berpenghuni yang sedang diubah suai di daerah ini.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah berkenaan.
“Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan dadah, manakala dua lagi didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai agar meningkatkan langkah keselamatan terutama bagi premis yang tidak berpenghuni, selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
TAMAT
