33 Mangsa Banjir Diselamatkan di Suang Punggor, Kota Belud.

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD, 6 Januari 2026 – Seramai 33 mangsa banjir termasuk kanak-kanak dan bayi berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas terperangkap di sebuah rumah yang dinaiki air di Suang Punggor di sini, hari ini.

Menurut laporan, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.01 tengah hari melalui talian balai sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 15 kilometer dan tiba pada jam 1.43 tengah hari.

Operasi menyelamat diketuai Komander Operasi Mohd Farhad bin Abdullah melibatkan seramai tujuh anggota bomba dengan bantuan sebuah lori bomba serta kerjasama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kesemua mangsa didapati terperangkap di dalam sebuah rumah akibat paras air banjir yang meningkat.

Pasukan bomba bertindak memindahkan mangsa menggunakan lori bomba sebelum menghantar mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Tun Said,” katanya.

Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 11 ketua isi rumah melibatkan dua lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, 16 kanak-kanak termasuk seorang bayi lelaki menjadikan keseluruhan 33 orang.

Selepas operasi di Suang Punggor selesai dan keadaan terkawal, pasukan bomba meneruskan pemantauan serta gerak tugas ke Kampung Suang Kina yang turut terjejas akibat banjir.

Operasi menyelamat dilaporkan tamat sepenuhnya pada jam 2.55 petang tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Orang awam yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Balai BBP Kota Belud, Elgie Bakuk di talian 017-601 5921.

TAMAT

Share This Article