MURID TAHUN LIMA CEDER DIPUKUL RAKAN ASRAMA AKIBAT INSIDEN TALI AMPAIAN

sabahheadlines
1 Min Read

TENOM, 23 JUN- Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak, mengesahkan seorang murid perempuan Tahun Lima mengalami kecederaan retak pada kaki kiri serta sakit di bahagian muka selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah rendah di daerah ini pada 11 Jun lalu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa secara tidak sengaja terlanggar tali ampaian sehingga menyebabkan pakaian milik suspek terjatuh ke tanah.

Suspek yang juga rakan sekelas dan penghuni bilik asrama yang sama dikatakan bertindak memarahi mangsa sebelum menarik rambut, memukul dan menyepaknya di dalam bilik asrama antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam.

Kes itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman kejadian tular di media sosial. Polis menerima laporan daripada bapa mangsa pada Selasa selepas beliau melihat video berkenaan yang dikongsi oleh ahli keluarga.

Siasatan turut mendapati dua murid lain merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit milik suspek sebelum video berkenaan dimuat naik ke status WhatsApp.

Beberapa saksi dalam kalangan murid asrama telah dirakam keterangan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

Share This Article