TAWAU, 26 Jan – Tindakan pantas polis berjaya mengekang ancaman keselamatan awam apabila seorang lelaki yang bertindak agresif dan mengamuk di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, ditahan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi ketika anggota MPV menjalankan rondaan sebelum menerima maklumat kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) mengenai seorang individu yang mengancam penduduk setempat.
Menurutnya, hasil operasi dengan bantuan dua lagi kenderaan MPV membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun. Semakan melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berkaitan kes penipuan yang dilaporkan di Putatan, Kota Kinabalu pada tahun lalu.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa barangan berbahaya dipercayai digunakan dalam kejadian itu, termasuk pemutar skru, bilah pisau pemotong kertas, bilah gunting dan sebatang besi,” katanya dalam kenyataan.
Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila berdepan individu agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan awam terjamin.
TAMAT
