MAJLIS DAERAH TELITI CADANGAN PAKIR SERONG DAN BAIKPULIH JALAN MENDAP

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syamilah Salleh

LAHAD DATU: 28 Jun – Beberapa cadangan penambahbaikan aliran trafik di sekitar bandar Lahad Datu sedang diteliti Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD), termasuk pembukaan laluan pusingan U berhampiran lampu isyarat Petronas Segama.

Pegawai Eksekutif MDLD, Jackley Gielbert@Lontou berkata, cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Majlis Daerah menerusi Jawatankuasa Kecil Peredaran Lalu Lintas MDLD bagi menangani isu kesesakan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Setiap cadangan yang dibawa oleh Ahli Majlis disambut baik kerana ia demi manfaat penduduk tempatan. Pembukaan pusingan U, contohnya, bertujuan memudahkan laluan kenderaan ringan menuju ke Sekolah Menengah Cina (SMC),” katanya selepas sesi taklimat jawatankuasa berkenaan di pejabat MDLD.

Antara lain yang turut dibincangkan ialah penyediaan parkir serong di kawasan Pasar Ikan bagi mengurangkan masalah parkir berganda (double park) serta penyelesaian jangka pendek meratakan jalan mendap di Jalan Lahad Datu–Tawau, berdekatan simpang ke SMC.

“Saya percaya apa juga keputusan yang diambil nanti adalah hasil pertimbangan yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat. Kita mahu jalan yang selesa, selamat dan menyumbang kepada kelancaran trafik,” jelasnya.

Jackley turut menghargai usaha gigih Ahli Majlis dan jawatankuasa lalu lintas yang disifatkannya sebagai barisan hadapan dalam menangani isu infrastruktur.

“Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi?” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Peredaran Lalu Lintas MDLD, Apas Nawawie Saking turut menyatakan komitmen pihaknya dalam memastikan cadangan-cadangan penambahbaikan dapat direalisasikan.

“Sebagai contoh, MDLD telah memasang lapan unit lampu solar serta menggantikan jaring gelanggang tenis di Taman Fajar – ini semua demi keselesaan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Apas bersama beberapa Ahli Majlis turut turun padang meninjau kawasan parkir yang telah dinaik taraf termasuk di Lorong Tabanak 2, Jalan Tabanak, Jalan Cempaka dan Lorong Fajar 4 yang kini menggunakan konsep parkir serong berbanding sebelum ini.

TAMAT

Share This Article