EMPAT DITAHAN, 92 KILOGRAM SERBUK KETUM DIRAMPAS DALAM OP TAPIS DI LAHAD DATU

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 8 OGOS- Empat individu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Lahad Datu dalam Op Tapis yang dijalankan di sekitar daerah ini,kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Dzulbahrin Ismail, berkata operasi berkenaan berjaya merampas 92 bungkusan serbuk ketum dengan anggaran berat keseluruhan 92 kilogram bernilai kira-kira RM9,200.

Beliau berkata, polis turut merampas 0.12 gram dadah disyaki syabu bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian saringan awal mendapati seorang daripada empat suspek yang ditahan positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan Methamphetamine (METH),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat untuk tindakan lanjut.

Dzulbahrin berkata, BSJND Lahad Datu akan terus mempergiatkan operasi dan penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah dan bahan terlarang.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Share This Article