TUARAN, 12 JULAI- Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas ditimpa sebatang pokok dalam satu insiden di Jalan Perumahan Kionsom Baru, Tamparuli, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4:10 petang melalui sistem NG999.
“Satu pasukan operasi melibatkan tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 23 kilometer dari balai,” katanya.
Menurut Komander Operasi, PBK I Norkizan Durudin, sebaik tiba di lokasi pada jam 4:30 PETANG didapati seorang mangsa lelaki berusia 57 tahun mengalami kecederaan parah di kepala akibat ditimpa pokok ketika sedang melakukan kerja-kerja menebang.
Oleh kerana kedudukan mangsa yang berada jauh di dalam kawasan hutan—kira-kira 700 meter dari jalan UTAMA pasukan bomba terpaksa berjalan kaki untuk memberikan bantuan awal.
Mangsa kemudiannya diusung keluar dengan berhati-hati menggunakan pengusung (stretcher) melalui laluan tersebut sebelum berjaya dibawa ke kawasan jalan utama.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah itu telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat dan mengangkat mangsa tamat sepenuhnya pada jam 5:48 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
