Oleh: Syarmilah Salleh
KOTA MARUDU, 24 Sept – Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta berwarna perak bagi membantu siasatan kemalangan maut di Jalan Sabit, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, kejadian kira-kira jam 4.05 petang pada 22 September itu melibatkan seorang penunggang motosikal lelaki tempatan.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda sebelum hilang kawalan dan terjatuh ke atas jalan.
“Dalam masa sama, sebuah kereta dari arah bertentangan dan melanggar mangsa, menyebabkan mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, pemandu kereta berkenaan dipercayai meninggalkan tempat kejadian dan nombor pendaftaran kenderaan itu masih belum dapat dikenal pasti.
“Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Marudu, Inspektor Julina Binti Samual di talian 088-661066,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.
TAMAT
