Oleh: Syarmilah Salleh
KINABATANGAN, 24 Sept – Seorang lelaki yang dilaporkan terjun ke Sungai Kinabatangan berhampiran jambatan Kampung Batu Puteh akhirnya ditemui lemas.
Mangsa, Andi Adul Ghani bin Andi Abdul Khadir, 41, dari Taman Ria, Tawau, dikatakan terjun ke sungai selepas keluar daripada kenderaan yang dipandu bersama isterinya kira-kira jam 5.57 petang, Selasa.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kinabatangan, operasi SAR bermula jam 7.15 pagi dan berakhir jam 12.15 tengah hari semalam.
Seramai empat anggota APM, empat anggota polis, empat anggota JBPM serta dua kakitangan Sawit Kinabalu terlibat dalam operasi tersebut.
“Pencarian dijalankan sejauh lima kilometer radius ke hilir sungai dan mangsa ditemui kira-kira jam 11.25 pagi di lokasi sama beliau dilaporkan terjun,” kata kenyataan itu.
Operasi SAR turut disertai sebuah bot milik Sawit Kinabalu serta peralatan sokongan termasuk jaket keselamatan, tali, pelampung keselamatan, pengusung lipat dan kit pertolongan cemas.
Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tamat
