LAPAN LELAKI DITAHAN, CECAIR VAPE DISYAKI MENGANDUNGI DADAH DIRAMPAS DI TAWAU

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 23 Jan – Polis menahan lapan lelaki termasuk tiga warga asing dalam satu operasi bersepadu khas selepas merampas cecair vape disyaki mengandungi dadah di sebuah rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 8.30 malam itu melibatkan kerjasama pasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau serta Balai Polis Seri Indah.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas sekumpulan lelaki yang berada di kawasan rumah berkenaan membawa kepada penemuan 13 botol cecair vape pelbagai perisa disyaki mengandungi dadah jenis ‘Mushroom’, sebotol air ketum serta sembilan batang rokok berisi tumbuhan kering dipercayai ganja.

“Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun. Lima daripadanya merupakan warganegara tempatan manakala tiga lagi warga asing, dengan dua daripadanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

ACP Jasmin menegaskan, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam pengedaran atau pemilikan cecair vape mengandungi bahan terlarang.

“Operasi bersepadu akan diteruskan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dan menjejaki keseluruhan rangkaian pembekal demi memastikan Tawau bebas daripada ancaman ini,” katanya.

TAMAT

Share This Article