POLIS BERKAS LELAKI UGUT CEDERAKAN ADIK KANDUNG

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 19 Jan – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mengugut mencederakan adik perempuannya serta menyerang abangnya di Kampung Rancangan Ranggu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila suspek, warga tempatan. berusia 27 tahun bertindak agresif selepas ditegur oleh bapanya.

Menurutnya, suspek dipercayai cuba memukul abangnya menggunakan sebatang penyapu sebelum menumbuk mangsa serta mengeluarkan ugutan terhadap adik perempuannya.

“Mangsa yang berusia 41 tahun membuat laporan polis kerana berasa terancam dengan tingkah laku suspek yang sering bertindak agresif terhadap ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menahan suspek kira-kira jam 6.15 petang di hadapan rumahnya.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

ACP Jasmin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau keganasan yang menjejaskan keselamatan keluarga dan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

TAMAT

Share This Article