Enam Tertuduh Kes Dadah Dipenjara, Didenda di Mahkamah Majistret Semporna

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 4 Februari 2026 – Mahkamah Majistret Semporna hari ini menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap enam individu selepas didapati bersalah atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Don Stiwim Malanjun, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah. Kesemua tertuduh dilaporkan tidak diwakili peguam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, empat daripada tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah, manakala dua lagi disabitkan di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah jenis syabu.

Antara hukuman yang dikenakan termasuk penjara antara sembilan hingga 18 bulan, selain denda RM2,600 hingga RM3,000 mengikut kesalahan masing-masing.

Dua daripada tertuduh turut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Tan menasihatkan orang ramai terutama golongan belia supaya menjauhi dadah kerana boleh menghancurkan masa depan serta membawa kesan buruk kepada keluarga dan masyarakat.

Beliau turut menggesa orang awam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan tegas diambil demi membanteras jenayah berkenaan.

TAMAT

Share This Article