Enam Warga Filipina Terselamat Insiden Vessel Karam Diserahkan Kepada Pihak Berkuasa Filipina

khaiz
1 Min Read

SABAH HEADLINES -SYARMILAH SALLEH
19 MAC 2025

SANDAKAN :Enam warga Filipina yang terselamat dalam insiden vesel karam tiga hari lalu diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan sempadan Malaysia-Filipina semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada Sandakan Port Control dan Taganak Port Control pada pukul 7.30 malam Ahad.

Bot HALILINTAR 4 digerakkan serta-merta dan tiba di lokasi pada pukul 9 malam, menyelamatkan enam mangsa berusia 11 hingga 45 tahun. Mereka dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada pukul 11.30 malam untuk rawatan lanjut.

Selepas perbincangan dua hala, Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa Filipina menyerahkan mangsa di sempadan perairan pada pukul 10.30 pagi semalam.

Proses itu disaksikan Naib Datuk Bandar Suraida B. Ibnusali sebelum mangsa diambil alih oleh pihak berkuasa Filipina.

Maritim Malaysia terus komited memastikan keselamatan maritim dan menggesa komuniti pesisir pantai serta pelaut untuk sentiasa berwaspada ketika cuaca buruk.

Share This Article