LAHAD DATU, 19 Januari 2026 – Sebuah rumah jenis tidak kekal di Kampung Silam Pengkalan di sini musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 23 kilometer.
Ketua Balai BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.55 pagi dan mendapati sebuah rumah berkeluasan anggaran 5 x 10 kaki persegi telah musnah terbakar 100 peratus.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.07 pagi.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.28 pagi selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain wujud,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan seramai 15 anggota bomba terdiri daripada 14 anggota dan seorang pegawai di bawah pimpinan Komander Operasi, PBKI Mohd Su’ait Mohammad.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.
TAMAT
