KOTA MARUDU,8 November – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Kota Marudu melantik Timbalan Pengerusi POIC Sabah, Dato’ Dr Janathan Kandok sebagai penaung baharu persatuan itu dalam usaha memperkukuh peranan seni silat sebagai wadah pembentukan jati diri dan semangat nasionalisme.
Pelantikan itu dimaklumkan ketika kunjungan hormat barisan kepimpinan PESAKA Kota Marudu kepada beliau, baru-baru ini.
Kunjungan berkenaan diketuai Presiden PESAKA Kota Marudu, Ajim bin Hajat dan turut disertai Penasihat persatuan, Dato’ Mordin bin Omar.
Mengalu-alukan kunjungan itu, Dato’ Dr Janathan merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memikul tanggungjawab berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan seni silat dalam kehidupan bermasyarakat yang bukan sahaja sebagai seni mempertahankan diri secara fizikal malah turut merangkumi aspek pertahanan diri secara batin.
Menurutnya, seni silat juga mempunyai dimensi kerohanian dan unsur keagamaan yang mendalam yang kadangkala kurang difahami masyarakat umum sehingga boleh menimbulkan salah tanggapan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan seni silat mempunyai peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara dan perlu terus dipelihara sebagai sebahagian daripada warisan bangsa.
Sehubungan itu, seni mempertahankan diri berkenaan wajar dimanfaatkan sebagai platform untuk menyemai dan memperkukuh semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
PESAKA Kota Marudu berharap pelantikan Dato’ Dr Janathan sebagai penaung baharu dapat memperkukuh gerakan persatuan itu dalam memartabatkan seni silat serta memperluas penglibatannya di peringkat daerah dan negeri.
