PROJEK SABAH SOUTHERN MADANI LINK PERKUKUH BEKALAN ELEKTRIK NEGERI

sabahheadlines
1 Min Read

SIPITANG, 13 JUN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Projek Sabah Southern MADANI Link akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri menerusi penyediaan bekalan elektrik yang lebih stabil, berkualiti dan berdaya tahan.

Beliau berkata, projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan itu bukan sekadar inisiatif infrastruktur tenaga malah merupakan pelaburan strategik yang mampu memperkukuh sistem grid elektrik Sabah sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Menurutnya, bekalan tenaga yang kukuh amat penting bagi menyokong perkembangan sektor strategik termasuk pembuatan, minyak dan gas, pelancongan, pertanian moden, pusat data digital serta industri berasaskan teknologi.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui menerusi Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERRAMP) 2040 dengan memanfaatkan potensi hidro, solar dan biojisim bagi menjadikan Sabah hab tenaga hijau di Borneo.

Beliau menambah, projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik antara wilayah bahkan membuka ruang kepada integrasi lebih banyak sumber tenaga bersih pada masa depan sekali gus merangsang pelaburan dan peluang pekerjaan di negeri ini.

Share This Article