SANDAKAN,1 JUN-Dua remaja perempuan ditemukan lemas ketika menjalankan aktiviti mandi-manda di sebuah kolam kuari di Kampung Gum-Gum, Jalan Kuari 5, di sini petang kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 5.31 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 27 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.59 petang dan mendapati kejadian melibatkan dua mangsa perempuan yang dipercayai lemas ketika mandi-manda di kolam kuari berkenaan.
Menurutnya, seorang mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba manakala seorang lagi mangsa ditemukan hasil usaha pencarian bersama antara anggota bomba dan orang awam di lokasi kejadian.
“Mangsa pertama merupakan remaja perempuan berusia 15 tahun manakala mangsa kedua berusia 17 tahun.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi turut melibatkan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menggunakan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) serta sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.01 malam selepas keadaan disahkan terkawal dan semua tindakan penyelamatan selesai dilaksanakan.
