Penunggang Motosikal Cedera Akibat Tumpahan Diesel Bawah Flyover Tanjung Aru

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 31 Disember 2025 – Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas tergelincir akibat tumpahan minyak diesel di bawah Flyover Tanjung Aru, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.23 pagi itu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan melalui talian balai berhubung tumpahan minyak diesel di atas jalan raya kira-kira satu kilometer dari balai.

Sebaik tiba di lokasi pada jam 10.26 pagi, pasukan bomba mendapati berlaku tumpahan diesel yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Pasukan segera menjalankan kerja-kerja pembersihan menggunakan satu aliran hos salur bantu mula bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Bagaimanapun ketika operasi pembersihan sedang dijalankan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dilaporkan tergelincir dan terbabas menyebabkan penunggangnya mengalami kecederaan ringan.

Pasukan Bomba bertindak pantas memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan kenderaan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 27 tahun dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II KUP Adzuan bin Abidin bersama sembilan anggota daripada BBP Kota Kinabalu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kawalan keselamatan lalu lintas.

Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada lagi risiko di lokasi kejadian operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.57 pagi.

TAMAT

Share This Article