sh@ editor
KOTA KINABALU (15 SEPTEMBER): Kerajaan Negeri membatalkan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka malam esok.
Keputusan itu dibuat kerana kerajaan mahu menumpukan kepada krisis bencana besar yang berlaku akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya di tujuh daerah negeri ini.
” Perkara itu telah dimaklumkan kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam satu kenyataan medianya di sini hari ini.
Katanya keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama.
“Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya lagi.
Ketua Menteri turut mengarahkan Jawatakuasa Pengurusan Bencana Negeri sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia untuk mengambil tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan terus berubah susulan cuca buruk yang berpanjangan.
Hajiji meminta orang ramai sentiasa berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha sedang dipertingkatkan di seluruh negeri.
Tamat
