Pemandu Proton Saga Cedera Ringan, Bertembung Lori 10 Tan di Papar

sabahheadlines
1 Min Read

PAPAR, 24 Disember – Seorang lelaki cedera ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan tanah di Jalan Sapat Mogon, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.33 pagi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, PBK I Dahlan Jainuddin jentera bomba tiba di lokasi pada jam 11.37 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Proton Saga dan sebuah lori 10 tan.

“Pemandu Proton Saga seorang lelaki berusia 45 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.

“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Papar menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.

Operasi melibatkan lapan anggota BBP Papar dengan kekuatan satu jentera FRT dan sebuah kenderaan VIGO selain kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.

“Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain di lokasi operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.57 pagi,” katanya.

TAMAT

Share This Article