CADANGAN PINDAH PASAR BESAR KK KELUAR DARI KAWASAN BANDAR

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,15 SEPT – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata  Kerajaan Negeri bercadang untuk memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu keluar dari  pusat bandar. 

“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan satu kertas kerja yang  akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet kemudian,” katanya ketika ditemui  selepas meninjau dua tapak yang dicadangkan bagi pasar baharu itu di Alam Mesra dan  di Jalan Tun Fuad Stephens hari ini. 

Beliau berkata Pejabat Datuk Bandar turut akan mengemukakan cadangan mengenai  perancangan bagi tapak Pasar Besar Kota Kinabalu sedia ada selepas pasar itu  dipindahkan. 

“Sebab itu kita melawat tapak-tapak yang dicadangkan bagi Pasar Besar baharu ini  tetapi ia masih di peringkat awal. Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi dengan  semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya. 

Terdahulu, Hajiji melawat tanah kerajaan negeri seluas 40 ekar di sepanjang Jalan  UMS, Alam Mesra yang dicadangkan sebagai tapak Hab Pasar Bersepadu Kota  Kinabalu Utara. 

Beliau diberi taklimat mengenai tapak berkenaan oleh Datuk Bandar Datuk Sabin  Samitah. 

Antara kemudahan yang dicadangkan di hab pasar berkenaan ialah pasar kering, pasar  basah, pusat produk kebudayaan, tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti  ikan. 

Beliau turut melawat tapak kedua yang terletak di atas tanah komersial bercampur milik  Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berhampiran Kampung Likas di  sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens bersebelahan Anjung Selera. 

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman serta Pembantu  Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela  Malakun. 

Share This Article