RM100,000 DISALURKAN KEPADA SK TANJONG PISAU MELALUI PROGRAM KAMPUNG ANGKAT DAN SEKOLAH ANGKAT MADANI

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN, 29 SEPT– Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Pisau, Lalasun, Sandakan hari ini menjadi platform memperkukuh hubungan antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), komuniti setempat dan institusi pendidikan.

Program tersebut turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan Tanjong Pisau bagi menyokong keperluan serta pembangunan sekolah.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, Ketua Pengarah APMM, kepada Encik Krishna K.S @ Mohd Fadzli bin Haji Abd Rozan, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Program dimulakan dengan ketibaan pegawai dan anggota APMM, guru, murid, komuniti setempat serta agensi sahabat sebelum diteruskan dengan aktiviti senamrobik, sukaneka, sukan rakyat dan pameran agensi.

Turut diadakan taklimat kesedaran keselamatan maritim yang memberi pendedahan kepada komuniti, khususnya masyarakat pesisir dan nelayan, mengenai aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut.

Ketua Pengarah APMM turut menyertai acara pemakaian jaket keselamatan kepada nelayan serta penempatan pelampung keselamatan di jeti Kampung Tanjung Pisau sebelum menaiki bot secara konvoi menuju ke jeti SK Tanjong Pisau.

Setibanya di sekolah, beberapa aktiviti diteruskan termasuk penempatan pelampung keselamatan di jeti sekolah, lawatan tapak projek, perasmian surau sekolah, acara pertandingan tarik tali serta lawatan ke reruai pameran agensi sahabat.

Kemuncak program berlangsung di khemah utama dengan pelancaran rasmi Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani, selain persembahan pelajar, tayangan montaj serta penyampaian cenderahati.

Turut hadir ialah Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM, Laksamana Pertama (M) Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali, Pengarah Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan agensi-agensi sahabat.

Datuk Hazem Mubarak Tun Dr. Musa, ADUN N.51 Sungai Manila diwakili oleh OKK Tuan Haji Awang Zakaria bin Maria, Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Sandakan bersama ppm rahmat Iskandar Ibrahim UPPM Sungai Manila.

Program yang berlangsung sehingga jam 2.00 petang itu turut dimeriahkan dengan jamuan kenduri sekampung, sekali gus memperlihatkan semangat kerjasama dan kebersamaan antara agensi kerajaan, sekolah dan komuniti setempat.

Inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuh kesedaran keselamatan maritim serta menyokong pembangunan pendidikan dan kesejahteraan komuniti di kawasan Kampung Tanjung Pisau dan sekitarnya.

Oleh : jalie mohamad

Share This Article