KOTA KINABALU, 23 Disember – Seorang lelaki mengalami kecederaan melecur selepas sebuah van jenis Toyota Liteace terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di kawasan Wawasan Plaza Sentral Api-Api, di sini petang kelmarin.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 6.58 petang sebelum mengerahkan pasukan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, PBK I Judi Trisna, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 7.03 malam dan mendapati sebuah van Toyota Liteace sedang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan dua pancutan salur bantu mula bagi mengawal kebakaran,” katanya.
Beliau berkata, seorang mangsa lelaki berusia 39 tahun mengalami kecederaan melecur kira-kira tujuh peratus di bahagian belakang badan.
“Mangsa diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi melibatkan seramai 11 anggota BBP Kota Kinabalu dengan kekuatan satu jentera FRT, sebuah EMRS dan dua jentera RIM.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.27 malam dan operasi ditamatkan seminit kemudian setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
TAMAT
