KOTA KINABALU-29 Dis, Kerajaan Negeri Sabah hari ini melantik Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau sebagai Pengerusi POIC Sabah Sdn Bhd manakala Datuk Roger Chin dilantik sebagai Pengerusi Invest Sabah Berhad.
Watikah pelantikan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Datuk Ewon Benedick, dalam satu majlis rasmi, hari ini.
Turut menerima watikah pelantikan ialah mantan Pengarah Jabatan Kastam Sabah, Datuk Dr Janathan Kandok yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi POIC Sabah.
Menurut Ewon, pelantikan berkenaan menggabungkan pengalaman dan kepakaran luas dalam pelbagai bidang termasuk perundangan, penggubalan dasar serta perkhidmatan awam, sekaligus diyakini mampu memperkukuh peranan strategik kedua-dua agensi berkenaan.
“Saya telah menegaskan Dasar Sabah First sebagai teras kepimpinan saya di MINDET dan berharap pelantikan ini dapat membentuk pasukan Sabah First yang kukuh di kementerian serta agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, POIC Sabah dan Invest Sabah memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan berkualiti sama ada pelaburan domestik mahupun asing selain meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
“Saya percaya dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, mereka mampu menjayakan wawasan serta agenda pembangunan negeri berteraskan prinsip Sabah First,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada ketiga-tiga tokoh yang dilantik.
TAMAT
