RANAU, 18 APRIL- Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Penanam Durian Ranau di Rumah Rehat Lohan di sini, pagi tadi dengan menekankan usaha meningkatkan nilai komersial durian tempatan.
Dalam pendekatan berbeza, beliau tidak menyampaikan ucapan rasmi sebaliknya berkongsi ilmu berkaitan teknik cantuman pokok durian matang daripada varieti kampung kepada durian premium sebagai kaedah menaik taraf hasil sedia ada.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi menangani isu lambakan durian kampung yang sering berlaku setiap musim sehingga menjejaskan harga pasaran yang boleh merosot serendah RM3 sekilogram.
“Teknologi cantuman ini mampu meningkatkan kualiti buah dan seterusnya memberikan pulangan lebih baik kepada pekebun,” katanya.
Pada masa sama beliau turut mengumumkan inisiatif menaja pelaksanaan cantuman bagi 500 pokok durian kampung dewasa di daerah ini, dengan pemantauan akan dilaksanakan oleh Persatuan Penanam Durian Ranau.
Beliau berkata, usaha berkenaan diharap dapat membantu pengusaha tempatan beralih kepada pengeluaran durian premium yang mempunyai permintaan lebih tinggi serta harga lebih stabil di pasaran.
Terdahulu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Penanam Durian Ranau, Datuk Japiril Suhaimin atas jemputan menghadiri program tersebut.
Turut hadir Pegawai Daerah Ranau, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau Datuk Faimin Kamin serta lebih 100 ahli persatuan berkenaan.
