DBKK ROBOH 23 STRUKTUR HARAM DI BUKIT SEPANGGAR, SEORANG LELAKI DITAHAN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 2 APRIL — Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas merobohkan sebanyak 23 struktur haram dalam satu operasi bersepadu di kawasan hutan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan, di sini, baru-baru ini.

Operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKK itu diadakan susulan aduan awam berhubung kewujudan penempatan setinggan yang dibina menggunakan bahan sementara seperti kanvas dan kayu di lokasi berkenaan.

Menurut kenyataan, operasi bermula kira-kira jam 1.45 petang dengan penglibatan 11 anggota penguat kuasa DBKK, diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, serta dibantu enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Manggatal dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati struktur terbabit didirikan di kawasan curam dan berisiko, selain dipercayai digunakan sebagai tempat persembunyian bagi mengelak tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selain itu, kawasan tersebut didapati tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, malah berada dalam keadaan tidak terurus serta tidak selamat untuk didiami.

Sehubungan itu, pihak berkuasa bertindak meroboh dan membersihkan kesemua struktur berkenaan bagi memastikan kawasan tersebut tidak lagi dijadikan penempatan haram.

Dalam operasi sama, pihak PDRM turut menjalankan pemeriksaan dokumen dan menahan seorang lelaki dewasa bagi membantu siasatan lanjut.

Operasi berakhir sekitar jam 6 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

DBKK dalam pada itu menegaskan komitmen berterusan untuk mempergiat usaha penguatkuasaan bagi membanteras penempatan haram di sekitar bandar raya, sekali gus menjamin keselamatan awam dan kelestarian persekitaran selaras dengan aspirasi bandar pintar dan lestari.

Share This Article