KOTA KINABALU, 29 Disember 2025 – Sebuah perusahaan sosial tempatan Farm Tokou terus mengukuhkan peranannya dalam memperkasa komuniti setempat di Sabah apabila menerima pengiktirafan di peringkat ASEAN atas sumbangan dan inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakannya.
Pengiktirafan itu dimaklumkan sempena kunjungan Farm Tokou yang diketuai Pengarah Urusannya, Gerald Thomas Wong ke atas Datuk Ewon Benedict Timbalan Ketua Menteri Sabah III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, di sini, hari ini.
Farm Tokou kini aktif melaksanakan perusahaan sosial yang memberi manfaat kepada komuniti di beberapa daerah termasuk Telupid, Penampang, Sook, Ranau, Kudat dan Kunak, selain sedang giat memperluaskan operasi perniagaan melibatkan rantaian bekalan perusahaan mereka.
Dalam pertemuan berkenaan, Datuk Ewon bersetuju memenuhi jemputan untuk merasmikan premis baharu Farm Tokou di Telupid pada Mac ini selain mengarahkan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) untuk memberikan sokongan sewajarnya bagi membantu perkembangan perusahaan tersebut.
Kejayaan Farm Tokou meraih anugerah ASEAN itu disifatkan sebagai satu pencapaian membanggakan dan diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai usahawan di Sabah untuk terus berinovasi serta berjaya di peringkat serantau dan antarabangsa.
TAMAT
