KOTA KINABALU, 10 Feb – Mohd Ismail Ayob yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 24 Januari lalu, hari ini secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Mohd Ismail, 44, mengangkat sumpah jawatan pada Persidangan DUN Sabah di hadapan Speaker, Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Pada PRK tersebut, calon Barisan Nasional (BN) itu memperoleh kemenangan besar apabila meraih 7,269 undi, menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek yang mendapat 1,588 undi.
Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai Miha sebelum ini pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu dan ketika itu muncul antara pencabar utama di kerusi berkenaan.
PRK DUN Lamag diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kinabatangan yang turut dimenangi BN menerusi Mohd Kurniawan Naim Moktar.
Kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan diadakan susulan kematian penyandang, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
TAMAT
