SIPITANG, 11 Feb – Seramai 12 mangsa banjir di daerah ini telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pagi ini berikutan peningkatan paras air sungai yang membimbangkan.
Ketua Polis Daerah Sipitang memaklumkan, seorang mangsa dari Kampung Kawang Baru telah dipindahkan ke PPS, manakala 11 penduduk dari Kampung Skim Sindumin ditempatkan di PPS Dewan Brempah.
Menurutnya, bot serta anggota Balai Polis Sipitang digerakkan ke beberapa lokasi terjejas bagi menjalankan pemantauan dan membantu proses pemindahan penduduk.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sipitang melaporkan Sungai Mengalong di Stesen Kampung Paru Siku berada pada tahap bahaya dengan bacaan 12.018 meter setakat jam 9 pagi.
Manakala Sungai Lukutan di Stesen Kampung Melalia pula berada pada tahap waspada dengan bacaan 10.381 meter.
Orang ramai turut dinasihatkan agar berwaspada susulan fenomena air laut pasang yang dijangka berlaku antara jam 2 petang hingga 5 petang, yang berpotensi meningkatkan paras airç semasa.
PDRM akan terus memantau keadaan dan menasihatkan penduduk supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
TAMAT
