Oleh: Aleya Badhriesiah
SANDAKAN: Hanya kerajaan yang stabil mampu membawa kemakmuran dan pembangunan berterusan kepada rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin.
Beliau berkata, kestabilan politik menjadi asas kepada kemajuan sesebuah negeri kerana kerajaan yang kerap bertukar bukan sahaja menyebabkan dasar sedia ada tidak dapat diteruskan, malah kontrak projek yang telah dianugerahkan terpaksa dibatalkan, sekali gus menjejaskan pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
“Jika kerajaan sedia ada gagal mempertahankan mandat, semua projek yang dirancang perlu dimulakan semula dan pembangunan tidak akan berjalan seperti yang dijadualkan. Akhirnya, rakyat juga yang akan menjadi mangsa,” katanya.
George yang juga Pengerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Karamunting berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pesta Kuih Bulan 2025 anjuran Gagasan Rakyat bahagian Karamunting yang diadakan di SK Sung Siew di sini, pada Sabtu malam (4 Oktober).
Beliau turut mengimbas kembali landskap politik Sabah sejak 2018, apabila Barisan Nasional (BN) tumbang selepas sekian lama memerintah dan digantikan oleh Parti Warisan, sebelum kerajaan itu pula tumbang pada 2020.
“Apabila Warisan tidak menyertai gabungan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan semula pada Julai tahun itu. Selepas kegagalan percubaan ‘Langkah Kinabalu’, Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri dan menerajui kerajaan negeri melalui Gagasan Rakyat,” jelasnya.
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan bahawa pertukaran kerajaan yang kerap hanya membawa kepada ketidakstabilan dan kemunduran.
“Tukar kerajaan tidak semestinya membawa perubahan. Pembangunan tidak akan berlaku seperti magis dalam tempoh setahun,” katanya.
George turut memberi contoh Sarawak yang menikmati pertumbuhan ekonomi dan sosial yang pesat hasil pemerintahan stabil oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah secara konsisten dan bekerjasama dengan baik.
“Dalam tempoh dua tahun sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ditubuhkan, Sabah telah mendapat perhatian dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan MADANI. Sama ada projek Lebuhraya Pan Borneo, kemasukan pelaburan asing atau pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur, semua ini adalah hasil kestabilan politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi agar terus memberi mandat kepada kerajaan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang supaya momentum pembangunan dapat diteruskan dan ekonomi negeri dapat terus digerakkan ke hadapan.
Bercakap mengenai kawasan DUN Karamunting, George berkata beliau kekal menjadikan “khidmat kepada rakyat” sebagai keutamaan sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada 2018 walaupun pernah berada dalam blok pembangkang.
“Ketika menjadi pembangkang, mahu baiki satu lampu jalan pun sukar kerana berdepan pelbagai halangan. Kini selepas menyertai Gagasan Rakyat, semua agensi kerajaan boleh bekerjasama dan pembangunan dapat dilaksanakan secara berperingkat,” jelasnya.
Menurut beliau, hampir 1,000 unit lampu jalan solar telah dipasang di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Sabah Electricity, Jabatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan.
“Masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki, tetapi saya berharap rakyat dapat memberi lebih masa dan kesabaran. Saya akan terus berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan pembangunan,” katanya.
George turut mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk penduduk luar kawasan untuk datang sendiri bagi mendapatkan maklumat sebenar dan menyampaikan cadangan, bukannya menyebarkan kritikan atau salah faham dari luar.
“Politik tidak seharusnya menjadi medan untuk menabur fitnah bagi meraih simpati. Fokus saya sentiasa pada khidmat dan turun padang menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
-Tamat-
