MAJLIS GRADUASI MAHAD TAHFIZ AL-QURAN WASSUNNAH AL-YAAKUB SANDAKAN TAHUN 2026

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN,13 APRIL– Majlis Graduasi Mahad Tahfiz Al-Quran Wassunnah Al-Yaakub Sandakan bagi Tahun 2026 telah berlangsung dengan penuh keberkatan dan jayanya yang menghimpunkan para pemimpin institusi, tenaga pengajar, ibu bapa serta para pelajar dalam suasana yang bermakna.

Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Datuk Amirshah Yaakub selaku Penasihat Mahad Tahfiz bersama barisan kepimpinan tertinggi institusi termasuk Pengerusi Lembaga Pengelola, Alfadhil Ustaz Haji Rafaeh bin Md Enarji; Timbalan Pengerusi, Alfadhil Ustaz Haji Azizul Ramli Saparudin; serta Mudir Mahad Tahfiz, Alfadhil Ustaz Mohd Al-Hakim bin Jamil dan turut hadir bersama Tuan Okk Haji Awang Zakaria bin Haji Maria Ketua Daerah Sandakan Di Mahkamah Anak Negeri Sandakan serta PPM Sungai Manila Rahmat Iskandar bin Ibrahim.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.51 Sungai Manila Datuk Haji Hazem Mubarak bin Tun Haji Musa.

Dalam ucapannya beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan Mahad Tahfiz atas komitmen berterusan dalam melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan Al-Quran malah turut mencapai prestasi akademik yang membanggakan.

Majlis ini turut meraikan kejayaan lima orang pelajar lepasan SPM 2025 yang telah memperoleh keputusan cemerlang sekali gus membuktikan bahawa pelajar tahfiz mampu bersaing dalam arus pendidikan perdana. Kejayaan ini menjadi simbol bahawa gabungan ilmu wahyu dan ilmu aqli mampu melahirkan generasi seimbang, berilmu dan berakhlak tinggi.

Dalam masa yang sama, sokongan turut dizahirkan terhadap usaha Mahad Tahfiz Al-Yaakub untuk diiktiraf sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Langkah ini diyakini mampu memperkukuh sistem pendidikan, pentadbiran serta membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar.

Sebagai wakil rakyat kawasan N51 Sungai Manila, beliau turut menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkasa institusi tahfiz khususnya dari aspek kebajikan pelajar, pembangunan infrastruktur serta pengiktirafan pendidikan.

Para graduan turut diseru agar terus menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup di samping mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik dan profesional selaras dengan keperluan negara terhadap generasi berilmu, beriman dan berintegriti.

Penghargaan turut diberikan kepada ibu bapa atas pengorbanan dan sokongan berterusan dalam mendidik anak-anak sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan.

Majlis diakhiri dengan perasmian rasmi Majlis Graduasi Mahad Tahfiz Al-Quran Wassunnah Al-Yaakub Sandakan Tahun 2026, dengan harapan agar institusi ini terus maju, diberkati serta menjadi contoh unggul dalam pembangunan pendidikan tahfiz di negeri Sabah, khususnya di Sandakan.

OLEH: JALIE MOHAMAD

Share This Article