KEUTAMAAN PROJEK SEGERA DEMI MANFAAT RAKYAT SABAH

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 13 APRIL-Kerajaan Negeri Sabah menegaskan keutamaan pelaksanaan projek pembangunan perlu diberikan kepada inisiatif bersifat mendesak serta mampu disiapkan dalam tempoh segera khususnya yang memberi impak langsung kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, tumpuan harus diberikan kepada projek melibatkan sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan selain memastikan pelaksanaan berjalan lancar tanpa kelewatan.

Menurut beliau berdasarkan data sistem MyProjek Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merangkumi 1,233 projek dan program pembangunan.

“Pemantauan perlu dipertingkatkan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual. Sebarang isu berkaitan pelaksanaan hendaklah dirujuk segera kepada agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri dan agensi pusat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu, hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa penekanan terhadap pelaksanaan projek berskala kecil yang mudah disiapkan atau “low-hanging fruit” perlu diberi perhatian serius selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, projek kategori berkenaan tidak seharusnya berdepan kelewatan kerana lazimnya hanya melibatkan isu setempat seperti tanah dan utiliti.

“Pelaksanaan yang cekap, telus dan mengikut jadual amat penting supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat dalam masa terdekat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar 2026 merupakan kesinambungan kepada agenda pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada pembasmian kemiskinan.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri memperuntukkan belanjawan tertinggi sebanyak RM12.02 bilion bagi tahun 2026, dengan sebahagian besar disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya.

Selain itu pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) turut dipergiat bagi meningkatkan kesejahteraan golongan rentan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan pelaksanaan pelan pembangunan sebelum ini memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan tepat untuk mencapai pertumbuhan mampan.

“SMJ 2.0 akan terus memperkukuh pembangunan dalam sektor utama seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan, di samping menekankan pembangunan modal insan serta infrastruktur hijau,” katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan pelaporan berkala projek yang mengalami kelewatan amat penting bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Sebarang kelewatan bukan sahaja menjejaskan tempoh siap projek malah berpotensi meningkatkan kos dan memberi implikasi kepada kewangan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu semua agensi pelaksana dan pihak berkepentingan diminta terus komited dalam memastikan projek pembangunan, khususnya yang memberi kesan segera kepada rakyat dapat disiapkan mengikut perancangan.

Share This Article