KANAK-KANAK RENTUNG DALAM KEBAKARAN DUA RUMAH DAN TIGA KENDERAAN MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI KG PATAU.

sabahheadlines
2 Min Read

TAMBUNAN, 10 Feb – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah dan tiga kenderaan dalam kejadian di Kampung Patau, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan yang terletak kira-kira 16 kilometer dari lokasi kejadian tiba pada jam 4.26 pagi.

Komander Operasi, PBK I Tony Sipin berkata, kebakaran melibatkan dua rumah jenis separuh kekal serta tiga kenderaan.

“Rumah pertama iaitu rumah satu tingkat berkeluasan 40 x 50 kaki persegi musnah sepenuhnya manakala rumah kedua dengan keluasan sama terbakar kira-kira 90 peratus.

“Tiga kenderaan turut musnah sepenuhnya iaitu sebuah Toyota Avanza, sebuah van dan sebuah Perodua Alza,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui rentung di dalam sebuah bilik dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seorang lagi mangsa, wanita berusia 31 tahun mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air bersumberkan air dari jentera dan pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

Seramai lapan anggota BBP Tambunan terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan satu jentera FRT bersama lima anggota serta satu unit EMRS bersama tiga anggota.

Turut membantu di lokasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

TAMAT

Share This Article