Lelaki Maut Dirempuh 4WD di Flyover Batu 6 Lahad Datu

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 1 Mac — Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal di Jalan Lahad Datu Bypass, Flyover Batu 6, Jalan Lahad Datu–Tawau, kira-kira jam 2.40 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan 4WD jenis Nissan Navara yang dipandu lelaki berumur 34 tahun bersama tiga penumpang dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu dipercayai hilang kawalan.

Menurutnya, kenderaan itu kemudian terbabas dan melanggar sebuah motosikal jenis Honda NSS250A yang berada di bahu jalan sebelah kiri.

“Motosikal berkenaan ditunggang seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai sedang berhenti dan berehat di atas motosikalnya ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pemandu 4WD serta tiga penumpangnya yang masing-masing berusia 42, 56 dan 11 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Lahad Datu, Insp. Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

TAMAT

Share This Article