DUA BOT BERSAMA 1,870 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI DIRAMPAS

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 1 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak masak bersubsidi menerusi penahanan dua buah bot dalam satu operasi di perairan Kampung Bokara Lama, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.00 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, anggota penguat kuasa telah mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri untuk tujuan pemeriksaan. Namun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan kedua-dua bot tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebanyak 1,870 paket minyak masak bersubsidi dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan penyeludupan barang kawalan tanpa permit yang sah.

Kedua-dua bot berserta enjin dan barang rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Oleh : Jalie mohamad

Share This Article