MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG BAHAGIA TERIMA BANTUAN AWAL MELALUI PROGRAM CAKNA KESUMA

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 7 JUN – Mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi menerima bantuan awal menerusi Program CAKNA Kesuma yang diadakan di Dewan PPR Taman Batu Sapi, hari ini.

Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terjejas akibat insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Dalam program berkenaan setiap mangsa menerima sumbangan baucar bernilai RM150 bagi membantu meringankan beban serta memenuhi keperluan harian mereka selepas kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Datuk Khairul Firdaus berkata, bantuan itu merupakan usaha awal bagi memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian sementara menunggu tindakan susulan daripada kerajaan negeri Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi mangsa dan akan terus berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya bagi membantu mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Program CAKNA Kesuma itu juga menjadi platform untuk mendekati serta menyantuni mangsa yang terkesan selain memastikan keperluan mereka mendapat perhatian pihak berkaitan.

Share This Article