TAWAU, 11 Januari – Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki merogol anak saudaranya sendiri.
Lelaki warga asing dalam lingkungan 40an itu ditahan di sebuah bilik sewa di kawasan bandar Sabindo.
Kejadian rogol dilaporkan berlaku di Taman Semarak dan mangsa disahkan hamil.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 52 tahun selepas dimaklumkan mangsa yang berusia 19 tahun mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam di rumah pengadu, sebelum mangsa dibawa ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.
“Suspek, yang merupakan adik kepada suami pengadu, berjaya ditahan sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau di sebuah bilik sewa di sekitar Bandar Sabindo kira-kira jam 3.50 petang, semalam,” katanya.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana rogol sumbang mahram serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jasmin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah seksual, khususnya yang melibatkan ahli keluarga, dan menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
TAMAT
