OPERASI BERSEPADU KHAS PPM WILAYAH 4 SABAH DAN SPRM

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 18 SEPT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai menerusi Operasi Bersepadu Khas di Sungai Seguntur, Sandakan.

Operasi hasil risikan dan maklumat awam itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun serta rampasan keseluruhan 3.55 juta batang rokok tidak bercukai bernilai kira-kira RM4.89 juta selain dua buah bot laju, sebuah lori bonded dan enam unit enjin sangkut.

Dalam operasi berasingan di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu pada 14 September 2026, PPM turut merampas 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai kira-kira RM478,506.

Secara keseluruhan, tiga serbuan pada 14 dan 15 September 2026 membabitkan nilai rampasan kontraban sebanyak RM5,368,506.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi dan mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran barangan tidak bercukai demi kepentingan dan keselamatan negara.

Oleh : Jalie mohamad

Share This Article