LELAKI CEDERA PARAH DALAM KEMALANGAN DUA KENDERAAN DI LAHAD DATU

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 27 MEI-Seorang lelaki berusia 20 tahun cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kawasan berhampiran PUSPAKOM Lahad Datu, KM4 Jalan Tengah Nipah, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.35 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva dan Proton Saga.

Ketua Balai BBP Lahad Datu, PBK II SumSoa Bin Rashid berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 5.40 pagi, kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Viva membabitkan seorang lelaki dan dua wanita.

“Dua mangsa wanita berjaya keluar sendiri daripada kenderaan, manakala mangsa lelaki didapati tersepit di bahagian tempat duduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua individu yang berada di dalam Proton Saga pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa lelaki yang tersepit menggunakan peralatan khas “rescue tools”.

“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kerana mengalami kecederaan parah.

“Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang diketuai PBK II Kenny Fred Bin Sikun itu membabitkan lapan anggota BBP Lahad Datu bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.

Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.15 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Share This Article