LAHAD DATU, 10 Januari 2026 – Polis menahan lima penunggang motosikal dan menyita 10 buah motosikal dalam satu Operasi Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan lewat malam tadi di sekitar daerah ini.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan kerjasama Cawangan Khas (CK), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) serta balai-balai polis di bawah pentadbiran IPD Lahad Datu.
Beberapa lokasi tumpuan dikenal pasti sebagai kawasan operasi antaranya Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Central serta Jalan Lahad Datu–Sandakan/Tawau.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin bin Hj. Ismail berkata, lima penunggang motosikal lelaki berusia sekitar 20 tahun ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain menunggang motosikal tanpa lesen memandu.
“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 46 individu dan 35 buah motosikal telah diperiksa sepanjang operasi tersebut manakala sebanyak 32 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Selain itu, sebanyak 10 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan secara tidak sah serta penunggang yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Dalam pada itu, ACP Hj. Dzulbaharin menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang boleh membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral seumpama itu dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi membendung penularan kegiatan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram atau samseng jalanan diminta menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255.
TAMAT
