KOTA KINABALU, 29 APRIL Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan dua kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi menerusi operasi berasingan di perairan Pulau Gaya dan kawasan Lok Kawi, Papar, kelmarin.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 9.30 pagi, sepasukan anggota yang menaiki bot ronda RH 29 menahan sebuah bot dalam rondaan di perairan Pulau Gaya.
Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 23 jerikin berisi kira-kira 570 liter petrol yang dipercayai disimpan tanpa kebenaran sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan mencecah RM302,225.90.
Sementara itu, dalam operasi kedua sekitar jam 10.30 pagi, hasil risikan yang dijalankan membawa kepada serbuan di sebuah stor di Lok Kawi, Papar yang disyaki dijadikan lokasi penyimpanan minyak diesel secara haram.
Pemeriksaan di lokasi menemui sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang telah diubah suai, sebuah Toyota Hilux, selain peralatan seperti skid tank dan tangki IBC, bersama kira-kira 4,000 liter minyak diesel tanpa dokumen sah. Rampasan dalam kes ini dianggarkan bernilai RM249,430.00.
Secara keseluruhan, kedua-dua operasi berkenaan mencatat jumlah rampasan bernilai RM551,655.90. Empat lelaki tempatan turut diberkas bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan, sekali gus memastikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
