JBPM NASIHAT TANGGUH AKTIVITI REKREASI AIR SEPANJANG MONSUN TIMUR LAUT

sabahheadlines
2 Min Read

PUTRAJAYA, 10 November – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan semua aktiviti rekreasi di kawasan badan air sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 bagi mengelakkan risiko kejadian tidak diingini.

Nasihat itu merangkumi aktiviti mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan.

Pengarah JPBM Sabah, PKPjB Mohd Pisar bin Aziz
​dalam satu kenyataan memaklumkan keadaan berkenaan berpotensi menyebabkan paras air meningkat secara mendadak, arus deras serta fenomena kepala air yang boleh mengancam keselamatan dan meragut nyawa.

Sehubungan itu, orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengutamakan langkah pencegahan ketika melakukan aktiviti luar.

JBPM turut menegaskan bahawa fenomena kepala air boleh berlaku dalam sekelip mata dan orang ramai tidak seharusnya menunggu sehingga keadaan air menjadi deras sebelum mengambil tindakan menyelamatkan diri.

Sekiranya berlaku kecemasan, orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 dengan segera serta memberikan maklumat lokasi kejadian kepada pihak penyelamat.

Dalam pada itu, JBPM turut menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 9 November lalu.

Dalam kejadian itu, seramai lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian di kawasan berkenaan manakala 26 individu yang terkandas berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.

Menurut JBPM, kejadian itu menjadi peringatan serius mengenai risiko keselamatan aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan hutan khususnya ketika cuaca tidak menentu sepanjang musim monsun.

Share This Article