LAHAD DATU,1 SEPT – Tiga lelaki dewasa maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Proton Aeroback yang dinaiki mereka dipercayai terbabas di selekoh sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Hutan Simpan Bagahak, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 malam sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai.
Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 8.16 malam didapati Proton Aeroback dipercayai terbabas sendiri ketika melalui selekoh sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.
Tiga lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)manakala seorang lagi lelaki dewasa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumsoa berkata, mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 8.45 malam,tambahnya.
Turut membantu dalam operasi tersebut anggota PDRM,KKM dan seramai tujuh anggota bomba dari BBP Lahad Datu digerakkan ke lokasi menggunakan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Bagaimanapun identiti ketiga-tiga mangsa yang maut dan mangsa yang cedera belum dikenalpasti.
