SANDAKAN, 10 November – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) digesa menyediakan pelan jangka panjang bagi menggantikan paip agihan air yang semakin uzur di Sandakan susulan kejadian paip pecah yang dilaporkan berlaku dua hingga tiga kali sehari.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming berkata, masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak empat tahun lalu memerlukan penyelesaian menyeluruh dan bukan sekadar kerja pembaikan sementara.
Beliau berkata, meskipun sekurang-kurangnya tiga Jurutera Daerah telah bertukar sepanjang tempoh itu, keadaan bekalan air masih belum menunjukkan penambahbaikan ketara.
Menurutnya, persoalan utama adalah sejauh mana perancangan, keutamaan dan peruntukan di peringkat ibu pejabat JANS mampu menangani masalah sebenar yang dihadapi penduduk.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan pembinaan lima tangki air baharu berkapasiti jutaan liter sekiranya sistem paip agihan sedia ada masih tidak boleh diharap.
Katanya, terdapat lokasi yang terpaksa digali sehingga tiga kali dalam tempoh setahun bagi membaiki kerosakan paip berulang sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penggunaan wang awam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan JANS melaksanakan program penggantian paip secara berfasa dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang kerap mengalami kerosakan dan gangguan bekalan air.
Chong turut menggesa menteri bertanggungjawab serta Pengarah JANS turun padang ke Sandakan bagi meninjau keadaan sebenar selain memberikan penjelasan terbuka mengenai keadaan paip, rekod kerosakan, peruntukan dan perancangan jangka panjang jabatan itu.
“Sandakan tidak boleh terus hidup dalam ketidaktentuan bekalan air harian. Kita memerlukan penyelesaian jangka panjang bukannya pembaikan sementara sebelum berdepan gangguan bekalan air yang seterusnya,” katanya.
