KEMBARA MARITIM JALUR GEMILANG 2026 DEKATI KOMUNITI SABAH DENGAN INISIATIF BAHARU

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 17 OGOS – Usaha mendekati masyarakat di seluruh Sabah diperkasa menerusi pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan W.P. Labuan sempena Kembara Maritim Jalur Gemilang 2026.

Inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara Maritim Malaysia dengan komuniti setempat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Kotak Kembara Cilik di Nabawan, Pek Kembara Cilik dan Kotak Kembara Sejahtera di Kalabakan.

Katanya, Beg Kembara Sejahtera serta pin “Malaysia Tanah Airku, Saya Sayang Sabah” turut dilancarkan di Semporna manakala Pek Kembara Sejahtera akan diperkenalkan di Paitan sebelum diperluaskan ke lokasi persinggahan kembara yang lain.

“Melalui inisiatif ini, Maritim Malaysia bukan sahaja menyampaikan mesej berkaitan keselamatan dan kedaulatan perairan negara malah turut memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan berimpak,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan berteraskan komuniti itu penting bagi menyemarakkan semangat cintakan negara serta memupuk nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya di kawasan persinggahan Kembara Maritim Jalur Gemilang 2026.

Maritim Malaysia Negeri Sabah dan W.P. Labuan akan terus memperkasakan program-program berteraskan komuniti bagi menyebarluaskan kesedaran bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara bukan hanya terletak di perairan, sebaliknya turut bermula daripada kesedaran dan semangat patriotisme rakyat di setiap pelosok Sabah.

Share This Article