KOTA KINABALU, 10 November – Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah kini diterajui Datuk Victor Sanjos yang secara rasmi mengambil alih jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah daripada Datuk Jauteh Dikun yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.
Majlis pemakaian pangkat Komisioner Polis dan serah terima tugas berlangsung di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, petang ini.
Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang turut menyempurnakan pemakaian pangkat Komisioner Polis kepada Victor.
Victor sebelum ini berkhidmat sebagai Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sebelum diberikan tanggungjawab baharu menerajui kepimpinan tertinggi PDRM di negeri ini.
Pada majlis itu, Jauteh menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada penggantinya menerusi upacara menandatangani dokumen serah terima tugas, penyerahan dokumen secara simbolik serta tongkat kuasa.
Peralihan kepimpinan itu menandakan kesinambungan pentadbiran PDRM Sabah dalam memperkukuh aspek keselamatan, membanteras jenayah dan memelihara ketenteraman awam di negeri ini.
