sh@ Syarmillah Salleh
KOTA MARUDU (4 Sept): Lebih 1,000 bungkus rokok tidak bercukai dengan nilai lebih RM4,000 dirampas oleh polis.
Rampasan itu berjaya menerusi satu operasi di kawasan hutan Kampung Ranau Jalan Langkon semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simuin Bin Lomudin berkata, operasi tersebut dijalankan sekitar jam 8.55 malam oleh sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu yang diketuai oleh Insp. Severinus @ Ricko Bin Sidin.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di lokasi berjaya menemukan beberapa kotak besi yang disorokkan di kawasan semak, mengandungi sejumlah besar rokok dipercayai tidak bercukai.
βRampasan melibatkan 46 pax rokok jenama Era Premium Special Blend (biru) dan 21 pax rokok jenama Era Black Menthol (hitam), dengan anggaran keseluruhan sebanyak 1,340 bungkus rokok.
βNilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,020,β katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiada tangkapan dibuat semasa operasi dijalankan dan kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurut Simiun, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai disorokkan oleh individu tidak dikenali untuk dijual secara haram kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai di daerah ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tersebut diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan dan tindakan penguatkuasaan.
TAMAT
