Desa Bajau Dilanda Air Pasang, Penduduk Bimbang Ancaman Buaya dan Ular

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 6 Nov: Fenomena air pasang besar yang melanda kawasan perkampungan atas air di Kampung Desa Bajau menyebabkan penduduk berdepan risiko keselamatan, termasuk ancaman haiwan reptilia seperti buaya dan ular.

Paras air yang meningkat terutama pada waktu malam bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian penduduk, malah turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan, khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.

Salah seorang penduduk, Mina, 52 tahun, berkata fenomena air pasang besar itu sememangnya berlaku setiap tahun, namun kali ini ia berlaku lebih awal dan pada paras yang lebih tinggi daripada kebiasaan.

“Air laut mula melimpah ke kawasan darat sekitar jam 3.10 petang sehingga paras buku lali. Tidak lama kemudian air terus naik hingga paras lutut dan melepasi jambatan,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, apa yang lebih merisaukan ialah ancaman buaya dan ular hitam yang naik ke darat ketika air pasang.

“Kawasan perkampungan kami memang ada buaya. Itu yang membimbangkan kami kerana beberapa kali kelibat buaya dilihat di sekitar kawasan ini, dipercayai hanyut masuk ketika air pasang,” katanya.

Penduduk berharap pihak berkuasa seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dapat meningkatkan rondaan serta memantau keadaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Berdasarkan maklumat terkini, paras air mula surut sekitar jam 8 malam tadi dan tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.

TAMAT

Share This Article